Minat saya untuk menjadi aktif dalam aktiviti pemuliharaan alam semulajadi baru dalam sekitar 'setahun tiga empat jagung'. Bermula daripada minat mengambil gambar - gambar yang berkaitan dengan alam semulajadi, timbul satu kesedaran bahawa alam semulajadi perlulah dipelihara demi masa depan generasi yang akan datang dan yang paling utama adalah demi kesinambungan kehidupan kita, manusia ... Homosapien.
Dan untuk menyokong usaha ini, saya pernah menyumbang dana bulanan kepada Organisasi World Wildlife Fund (Malaysia) selama beberapa tahun dan kemudiaannya menyertai Malaysian Nature Society untuk bergiat lebih aktif lagi dalam memberikan sokongan terhadap pemuliharaan alam semulajadi.
Dalam tempoh perjalanan saya di dalam aktiviti ini, saya telah menemui ramai aktivis lain dan turut berkenalan dengan aktivis - aktivis yang sememangnya pakar dalam pelbagai subjek alam semulajadi seperti pakar tumbuhan, pakar mamalia, pakar serangga, pakar burung, pakar reptilia, pakar ikan, pakar terumbu karang, pakar pepatung & rama - rama dan pakar - pakar yang lain.
Boleh saya katakan yang Pencinta Alam turut mempunyai 'level' iaitu bermula dari pendatang baru (newbie) hinggalah ke 'level' pakar (master). Biasa la, di mana - mana pun 'level' ini akan tetap ada.
Namun, saya juga perhatikan ada segelintir aktivis yang disamping 'berjuang' sebagai seorang aktivis atau 'naturalist' (bukan naturist :D) turut membawa agenda lain bersama perjuangan mereka. Bak kata pepatah, sambil menyelam minum air. Antara agenda - agenda tersebut adalah untuk mendapatkan populariti, menjana sumber pendapatan tambahan, menjawat jawatan yang tinggi di dalam organisasi dan lain - lain.
Saya turut menemui beberapa individu yang pakar dalam bidang mereka namun telah membuat satu jarak di antara mereka dan pencinta alam yang baru. Mereka tidak melayan persoalan atau pendapat seseorang pencinta alam yang baru kerana mereka berfikiran yang mereka lebih bijak dan lama di dalam memperjuangkan pemuliharaan alam semulajadi. Yang lebih mengecewakan adalah mereka tidak mahu berkongsi ilmu seperti membantu dalam pengenalpastian spesis dan jika dimaklumkan pun, ianya adalah tidak dengan penerangan, hanya sekadar memberikan nama. Adakah mereka risau yang satu hari nanti rakan pencinta alam yang lain akan mencapai tahap pengetahuan yang sama seperti mereka. Lupakah mereka bahawa matlamat semua pencinta alam seharusnya sama iaitu untuk mendalami ilmu alam semulajadi, mencintai alam semulajadi dan seterusnya memulihara alam semulajadi?
Namun, tidak semua 'pakar'/aktivis bersikap demikian, kebanyakan serta majoritinya adalah amat membantu dan peramah. Mereka turut memberikan dorongan serta penerangan yang baik terhadap setiap isu / persoalan yang diajukan. Malah ada yang turut meluangkan masa untuk membawa rakan pencinta alam yang lain ke lokasi - lokasi tertentu untuk memberikan penjelasan & pendedahan yang sempurna.
Pada tahun yang lalu, saya pernah bertugas secara sukarela untuk satu kempen berkaitan dengan alam semulajadi. Saya yang mewakili MNS berkongsi satu 'booth' bersama WWF yang diwakili oleh agen mereka. Wakil dari WWF bertanyakan kepada saya akan mengapa saya tidak meneruskan sumbangan dana untuk WWF. Saya memberikan justifikasi saya akan mengapa dan beliau memaklumkan yang isu yang saya bangkitkan telah diselesaikan serta memberi jaminan yang ianya telah dibaikpulih. Dengan penjelasan beliau, saya berhasrat kembali untuk menyumbang sekali lagi. Namun, setelah berakhirnya hari tersebut, saya tidak menandatangani borang sumbangan. Mengapa? Ceritanya adalah setelah saya bersetuju, saya turut meminta agen tersebut menyertai MNS. Saya sebenarnya tidak serius, hanya sekadar untuk melihat apakah reaksi agen tersebut. Beliau seakan serba salah untuk sertai MNS. Saya menerima 'keserbasalahan' tersebut tetapi satu jawapan daripada rakan agennya memudarkan hasrat saya untuk memberikan sumbangan. Rakan agen tersebut berkata "Kita WWF MNS sama la, tak payah kita masuk MNS la sebab WWF bagi sumbangan lagi banyak dari MNS". Saya hanya tersenyum mendengar kata - kata agen tersebut. Dan pada akhirnya, saya mengambil keputusan untuk tidak memberikan sumbangan akibat daripada 'statement' kurang bijak rakan agen tersebut.
Kesimpulannya adalah setiap yang terlibat dalam penyokongan pemuliharaan alam semulajadi perlulah bersikap rasional, terbuka dan sedar bahawa matlamat utama perjuangan adalah sama. Tak kira tua, muda, pendatang baru, pendatang lama, berpengalaman, tidak berpengalaman dan tidak mengira dari organisasi mana kita wakili, semuanya adalah untuk sati matlamat. Ketepikan ego dan berusahalah dengan ikhlas ke arah kejayaan dalam pemuliharaan alam semulajadi.

0 comments:
Post a Comment